Saturday, December 3, 2011

kEuNgGuLaN hATi

Hati merupakan juadah paling istimewa dan menjadi intipan musuh. Setiap detik ditungganginya dengan tidak berhenti. Musuh yang dimaksudkan adalah keluarga pak setan yang terdiri dari dato, moyang, bapak, ibu dan anak-anak setan. Mereka amat dedikasi dalam mencorakkan pemikiran dan tindakan manusia sepertimana yang telah dijanjikan di hadapan Allah sebelum disingkir dari syurga.
            Tetapi hadir pula malaikat yang pula merebut hati. Jadi setiap saat pak setan dan malaikat sentiasa berjuang untuk merasuk hati-hati setiap manusia. Maka janganlah lengah!!! Setan mengetuk pintu hati untuk berbuat keburukan, sedang malaikat mengetuk untuk berbuat kebajikan dan kebaikan.
            Komposisi hati adalah nafsu dan akal yang diuli bersama untuk membentuk kualiti manusia dan kemanusiaan. Nafsu dan akal bagaikan anjing dan kucing, selalu berdolak dalek dalam segala hal. Ketika apa yang hendak dilakukan oleh akal, nafsu selalu menghalang, begitulah juga sebaliknya. Hati diumpamakan sebagai medan pertempuran antara akal dan nafsu. Sebab itulah hati kita sibuk setiap saat selama hayat dikandung badan.
            Rupanya hati yang kita sayangi selalu berdesas-desus dengan tiada hentinya. Hati tidak pernah lelap selalu berfungsi mahupun siang atau malam. Jauh berbeza dengan organ tubuh lain seperti mata, di kala ia mengalami kelelahan maka lama kelamaan kita pasti mencari kesempatan untuk berehat atau memejamkannya. Cuba kita tutup telinga kita rapat-rapat, maka tak akan dapat mendengar, sementara itu di dalam hati kita setiap saat, ingatan lama, rasa kekecewaan, malu dan sebagainya hadir dan berlalu.
            Jadi rupanya perkara hati dan penyakit yang ada di dalamnya merupakan perkara yang ghaib. Penyakit yang dimaksudkan bukannya penyakit hepatitis atau penyakit lain yang dapat dilihat dan disembuhkan hanya dengan pemeriksaan doktor dan diberi ubat kimia mahupun tradisional. Penyakit hati ini merupakan penyakit yang tidak mampu dilihat mahupun diubati oleh doktor atau tabib.
            Namun merupakan perkara ghaib. Berjangkitnya penyakit ini kadang kala tidak dapat disedari. Bahkan hingga terlebih dos pun ia tidak dapat dirasai. Malah semakin menikmatinya dan terbuai. Penyakit ini lebih merbahaya dari penyakit biologi lain seperti HIV AIDS atau penyakit lainnya. Sungguh sulit untuk menyembuhkannya. Maka oleh sebab itu, marilah kita mevaksinasi atau memberi kekebalan pada hati agar tidak tervirus atau terjangkit penyakit mengerikan ini. Tidak lain caranya adalah dengan memperbanyakkan berzikir dan mengingatkan Pencipta dalam apa keadaan sekalipun.
            Hati itu diibaratkan raja. Pemimpin yang sangat ditakuti dan dipatuhi oleh seluruh organ tubuh lainnya. Apa yang dikatakan oleh hati maka seluruh organ tubuh akan tergerak mengikuti perintahnya. Jika raja tersebut jujur dan memerintahkan hal-hal yang baik, maka rakyatnya akan mencontohi perihal Sang Raja. Demikian pula sebaliknya. Raja yang zalim, kasar, dan sebagainya, maka akan banyak masalah dan pertentangan yang terjadi.      
            Hati manusia, atau sering disebut qalbu, sentiasa bolak balik, tiada tetap. Kadang ia bersih, kuat iman, bercahaya, lemah lembut, tetapi suatu saat menjadi kotor, lemah iman, gelap gelita, buta, keras membatu terhadap kebenaran.
            Di antarapenyebab hati yang kotor adalah tidak beriman kepada Al-Quran dan banyak berbuat kesesatan. Allah berfirman, “Dan ( begitu pula ) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya ( Al-Quran ) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya.” ( Al-An’am: 10).
            Orang yang hatinya kotor dan sakit akan mudah digoda syaitan yang menjerumuskannya kepada perbuatan maksiat, dosa, dan kezaliman. Allah S.W.T berfirman, “Agar Dia menjadikan apa yang dimasukkan oleh syaitan itu, sebagai cubaan bagi orang-orang di dalam hatinya ada penyakit dan yang kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu, benar-benar dalam permusuhan yang jauh.” (Al Haj: 53)
            Orang yang kotor hatinya kerana perbuatan dosa dan jahat, hatinya menjadi buta dan tidak dapat menerima pelajaran dan peringatan. Akhirnya, hilanglah rasa percaya atau iman, dan orang itu akan selalu mengikuti kehendak nafsunya. Allah berfirman, “Dan apakah belum jelas bagi orang-orang yang mewarisi sesuatu negeri sesudah (lenyap) penduduknya, bahawa kalau Kami menghendaki tentu Kami azab mereka kerana dosa-dosanya, dan Kami kunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar” (Al A’raf: 100)
            Sebaliknya, beruntunglah orang yang menyucikan hatinya dengan cahaya iman, rasa percaya, dan amal soleh. Hati yang suci yang akan selalu mendapat petunjuk Allah dan tidak mudah digoda syaitan untuk berbuat mungkar atau maksiat, akhirnya nafsu akan tetap tenang. Iman yang baik dan sentiasa mengingati Allah membuat orang menjadi tenteram hatinya.
            Orang yang sentiasa membersihkan hati dari berbagai penyakit akan tampil sebagai orang yang mukhlis, iaitu orang yang ikhlas menjalankan ibadah dan semua aktiviti kehidupan. Segala hal yang ia lakukan hanya dipersembahkan kepada Allah. Orang seperti ini sulit digoda dan disesatkan syaitan.
            Hati yang bersih tersemai di dalamnya takwa kepada Allah. Takwa ini yang mendorong manusia selalu menjalankan perintah Allah dan menghentikan segala laranganNya. Agar hati kita selalu membimbing kita kepada kebaikan, maka ia harus disucikan dari berbagai penyakit hati dan dosa-dosa yang kita lakukan.

Hati yang terluka umpama besi
bengkok walau diketuk sukar kembali
kepada bentuk asalnya.

Tuesday, November 29, 2011

sInOpSiS sEbUaH hAtI

Menurut sains hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma pada manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah. Ia menghasilkan hempedu yang penting bagi penghadaman.
Istilah perubatan yang berkaitan dengan hati biasanya berasal dari perkataan Greek bagi hati iaitu hepar, menjadi hepato atau hepatic. Hati yang berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Hati menerima makanan terlarut dalam darah apabila makanan ini tercerna dan diserap di usus.
Hati merupakan pengawal manusia dan elemen yang terpenting dalam diri manusia kerana dengan hati manusia dilebihkan oleh Allah SWT dari makhluk yang lain. Hati manusia mempunyai 3 bahagian iaitu:
o   Qalbun Mayyit (hati yang mati) – hati jenis ini tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah.
o   Qalbun mariidh (hati yang berpenyakit) – merasa sudah banyak membuat kebaikan dan merasa berjasa terhadap perkembangan agama Islam. Sering menganggap remeh terhadap orang lain dan cenderung membuat hal sendiri. Ciri-ciri orang yang hatinya berpenyakit:
·         Suka menganggap mudah terhadap dosa.
·         Suka bermaksiat
·         Jika dinasihat ia merasa dihina dan tidak mahu menerimanya.
o   Qalbun Salim (hati yang lurus dan bersih). – seseorang yang terarah hidupnya manakala hatinya tenang dan selalu mengingati akan kebesaran Allah SWT. Ciri-ciri orang yang berhati lurus adalah:
·         Selalu mendambakan kasih sayang dari Allah SWT
·         Rela dibenci oleh semua makhluk demi mencapai kasih sayang Allah SWT
·         Takut akan azab Allah
·         Menyedari akan kebesaran Allah
Pengkaji ilmu tasawuf sering menjadikan soal hati sebagai agenda utama. Hal ini sesungguhnya untuk penyelarasan dari Ilmu Tauhid dan Syariat. Dalam sebuah kata-kata hikmah bahawa : “Man ‘Arofa Nafsahufaqod ‘Arofa Rabbahu”. “Barangsiapa mengenal dirinya maka ia akan mengenal Tuhannya”.
Sementara Ali. R.A mengatakan bahawa : “Awwaluddin Ma’rifatullah”. “Awalnya beragama adalah mengenal Allah”. Sehingga dapat dilihat, bahawa Mengenal diri (An-Nafs) merupakan awal dari seorang beragama dengan hak. Keperibadian manusia itu dan kualiti hatinya dapat diketahui melalui tingkah lakunya, kerana ia merupakan cerminan dari HATInya...
Hati itu terdapat 2 jenis :
1.      Hati Jasmaniyah – hati jenis bentuknya seperti buah shaunaubar. Haiwan memilikinya, bahkan orang yang telah mati pun memilikinya.
2.      Hati ruhaniyyah – hati jenis inilah yang merasa, mengerti, dan mengetahui.
Disebut pula hati latifah (yang halus) atau hati robbaniyyah. Hati inilah yang merupakan tempatnya Iman:
      “...Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu...” (Al Hujurat:7)
Dalam sebuah hadis Qudsi dikatakan:
“...Tidak akan cukup untuk-Ku bumi dan langitKu tetapi yang cukup bagi-Ku hanyalah (qalb) hambaKu yang mukmin”. Maka dengan hatilah, seseorang dapat merasakan iman. Dengan hatilah seorang hamba dapat mengenal RabbNya.

Hidup tak selalunya indah tapi yang
indah itu tetap hidup dalam kenangan.

Saturday, November 26, 2011

nUr

Nur cahayaMu bersinar
memancar pelusuk dunia
terangi segala...

Ku tersentuh gementar
alunan suara azan
memanggil ku yang terleka

Lamunanku tersedar
silau dari cahaya
gelombang mala gempita

Baru kini ku sedar
padaMu Maha pencipta
ku insan terlupa

Berikan aku
hidayah Mu
kupenuhi jiwa

Hanya pada Mu
ya Tuhanku
sinar permata hatiku

PadaMu Tuhan ku sujud keampunan
ampunkan dosa ku padaMu
hanya padaMu ko pohonkan sejahtera
ya Tuhanku yang Maha Esa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...