Cara yang sebaik-baiknya untuk
khusyuk dalam sembahyang ialah dengan melakukan beberapa perkara :
1. Hendaklah orang yang bersembahyang itu mengambil tahu dan mempelajari
makna-makna bacaan dalam sembahyang. Seperti bacaan Al-Fatihah, tahiyyat,
tasbih dalam rukuk dan sujud, dan bacaan-bacaan yang lain supaya dia tidak
teringatkan perkara-perkara yang lain, selain daripada hatinya menumpukan
kepada pengertian bacaan-bacaan itu.
2. Orang yang sembahyang itu, hendaklah dia ingat bahawa dia sentiasa
dalam perhatian Allah. Allah sentiasa memerhatikan gerak-gerinya,
bacaannya dan hatinya. Dari itu, tidaklah seharusnya seseorang yang
sembahyang itu berangan-angan dan berkhayal dalam sembahyang.
3. Untuk membantu supaya dia dapat khusyuk dalam sembahyang, eloklah
seseorang itu memohon pertolongan Allah untuk mengkhusyukkan sembahyangnya
dengan membaca surah An-Nas sebelum dia mengangkat Takbirratul-Ihram.
Adapun faedah-faedah yang boleh didapati daripada kekhusyukan sembahyang
itu, setengah daripadanya ialah dia akan mendapat ganjaran atau pahala
yang banyak daripada Allah. Ini kerana sedikit atau banyaknya pahala yang
didapati oleh seseorang itu, terhenti pada nilai khusyuk sembahyangnya.
Selain daripada itu, sembahyang yang benar-benar berfungsi untuk mencegah
perkara maksiat dan mungkar ialah sembahyang yang khusyuk, didirikan
semata-mata kerana Allah.
Seperti firman Allah yang di dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45 bermaksud :
"Bahawasanya, sembahyang itu dapat mencegah perkara jahat dan mungkar."
RAHSIA KHUSYUK DALAM SEMBAHYANG
Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat
khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang
khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam
dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"
Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua
anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota
dengan tujuh perkara :-
1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki
Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan
semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh
kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah
kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan
aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul
Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat
terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan
sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku
memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."
Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang
kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.
KHUSYUK DALAM SOLAT
IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya
adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk
mengingati
Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan
mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut
tidak akan berasa
gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.
Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala
pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya.
Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan
memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka
membaca ayat
keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud:
"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."
Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di
padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah
SWT.
Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud :
"Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon."
Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada
Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya.
Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan
mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi
hamba nafsu,
yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia
hanya menyembah Allah SWT semata-mata.
Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk,
yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran
Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis
sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya
penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."
Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh
seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui
sembahyang
itu.
Firman Allah yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai
dari solatnya."
Surah al-Ma'un : ayat 4-5
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud :
"Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar
mana yang ia ingat."
Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan
lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah
SWT. Malah
solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu
sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang kosong,
maka
selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia
berada dalam keadaan khusyuk, iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan
mereka
dalam sembahyang itu, atau sebanyak mana pula yang lalai. Kalau banyak
masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk
menunggu akhirat
bagi melihat pahala solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh
mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.
Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain.Jika
dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada
khusyuk, tetapi
puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya
itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan
kelihatan letih
dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang
tinggi pekertinya, senantiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa
dan juga
pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan
kata-kata yang tidak berfaedah.
Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak
disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan
juga.
Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang.
Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan
zakat.
Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji
seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan dua
perkara iaitu tubuh
badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai
dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana
ia terpaksa
membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang
ringgit habis.
Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang
dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan
"munajat"
(berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.
Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh
kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang
lalai
boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.
Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang
yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan
juga
lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih
mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk
lansung dalam
pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang
mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di
luar
kesedaran.
Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh
Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan
solat, maka
ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak
akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan
kalimah-kalimah yang
mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.
Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah SWT bukan saja melalui
ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabila hati lalai ia akan
menjadi hijab yang
menghalang seseorang itu untuk menghampiri Alah, meskipun Allah SWT
menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang.
Firman Allah Taala yang berbunyi:
"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati."
Surah Ar-Ra'adu : ayat 28
Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih
dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang
lain. Sekiranya
solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula
amalan yang lain.
No comments:
Post a Comment