Sunday, May 6, 2012

mAtA hATi


Ramai yang tahu bahawa kita adalah hamba Allah. Namun berapa ramai antara kita yang sedar bahawa kita hamba Allah. Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar bahawa dirinya hamba Allah.

            Justeru, ramai yang berlagak seolah-olah ‘tuan’ (malah tuhan) dalam kehidupan seharian. Sikap angkuh, tamak, pemarah dan bangga diri yang sepatutnya tidak ada pada diri seorang hamba, menjadi tabiat dan budaya dalam kehidupan. Tahu dan sedar adalah dua perkara yang sangat berbeza.

            Tahu terletaknya di akal – dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati – dengan memiliki penghayatan dan hikmah. Ini menjelaskan mengapa ada orang yang cemerlang dan mudah naik pangkat dalam kerjayanya serta serta hidup dalam keluarga dan suasana Islam tetapi tidak solat. Dia mungkin tahu kebaikan solat tetapi tidak sedar akan kebaikan itu. Tahu, hanya ‘di permukaan’, yakni baru bersifat pengetahuan dan teori. Manakala sedar adalah mendalam, melibatkan kemahuan dan amali.
Kata hikmah dari Saidina Ali

            Untuk mengetahui apakah hakikat kesedaran, marilah kita dengar apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Ali yang bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat.

            Setelah diri berada di alam barzakh, barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “setelah terhantuk (mati), barulah dia terngadah (sedar).” Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah pahala.

            Betapa tersasar matlamat hidup selama di dunia akibat buta mata hati. Dalam alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’, barulah kita terjaga dari ‘mimpi’ selama ini. Sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk mengubah takdir. Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, maka kebaikan dan manfaat kita akan perolehi.

            Di manakah letaknya kesedaran? Apabila Saidina Ali menggunakan istila ‘tidur’ dan ‘terjaga’, merujuk kepada mata? Tetapi anehnya, Saidina Ali mempunyai definisi yang berbeza. Bila hidup, yakni ketika mata terbuka itu yang dikatakan bermimpi manakala apabila mati (mata tertutup) dikatakan terjaga.

Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Ali dengan ‘terjaga’ tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam Al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’.

            Seseorang akan memiliki satu kesedaran hanya apabila mata hatinya terbuka. Dia melihat sesuatu bukan hanya dengan pandangan mata kepala malah disertai dengan pandangan mata hati. Pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat dan benar kerana ia mampu melihat yang tersirat di sebalik tersurat, dapat menerobos yang batin daripada yang lahir dan mapu membezakan antara yang hakiki dengan ilusi.

            Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki hal-hal terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.



Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik
daripada kejayaan dalam kehinaan.
Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih
mulia dari memberi dengan banyak
tapi diiringi dengan riak. 


1 comment:

Mawar berduri said...

setitik dakwat mmpu membuat sejuta akal berfikir .. nice one ^_^ ~ tersentuh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...